BADAK YANG KURUS

Hidupkan Istilah ‘Wang Pembayar Cukai’ Dalam Media

Istilah memainkan peranan penting dalam menyedarkan penggunanya dan pendengar. Seringkali media melaporkan bantuan atau belanja yang dikeluarkan oleh kerajaan digambarkan seakan itu adalah harta kerajaan atau orang politik yang terbabit. Maka bantuan yang disalurkan seakan dari sifat pemurah kerajaan seperti disebut ‘kerajaan bermurah hati membantu’.

Rakyat seakan bagaikan peminta sedekah. Begitu juga apabila ada penyelewengan ataupun pembaziran, maka rakyat yang tidak faham merasakan yang rugi hanyalah kerajaan atau duit orang politik, sedangkan mereka lupa wang tersebut adalah wang mereka. Maka di sini disebutkan beberapa perkara;

i. Samada kita sedar atau tidak, setiap rakyat negara ini membayar cukar kepada kerajaan. Ini merangkumi cukai pendapatan, cukai langsung dan tidak langsung. Harga barangan yang kita beli dalam negara ini sebenarnya kita bayar bersama harga cukai. Di Malaysia kita membeli kereta dengan harga yang tinggi disebabkan faktor cukai. Begitu juga segala barangan, makanan dan stesyen TV yang dibeli merangkumi harga cukai. Maka, setiap rakyat kena tahu bahawa mereka sebenarnya setiap hari membayar cukai kepada kerajaan. Justeru wang kerajaan adalah wang rakyat.

ii. Maka, wang yang dibelanja oleh mana-mana kerajaan; samada BN atau PR atau istana-istana dalam negara adalah wang rakyat yang membayar cukai secara langsung atau tidak langsung, sedar ataupun tidak sedar. Istilah ‘wang pembayar cukai’ atau taxpayers money, atau harta awam sepatutnya sentiasa dipakai dalam media dan ungkapan rakyat.

Justeru, apabila kerajaan membelanja untuk sesuatu projek atau menyalurkan harta kepada mana-mana pihak, hendaklah dilapor atau disebut “kerajaan menggunakan wang pembayar cukai atau harta rakyat untuk projek itu dan ini”. Jika berlaku pembaziran, hendaklah dilapor dan disebutkan “kerajaan telah membazirkan wang pembayar cukai, atau merosakkan harta awam, merugikan wang rakyat”.

iii. Ungkapan ini penting supaya orang-orang politik sedar bahawa bantuan dan peruntukan yang mereka salurkan kepada rakyat bukan wang poket mereka, atau harta peribadi mereka sehingga mereka boleh mendabik dada bangga. Sebaliknya, ia sememang harta rakyat. Begitulah rakyat, mereka tidak boleh tertipu dengan merasakan seolah-olah bantuan yang diumumkan oleh orang-orang politik itu dari ‘harta persendirian’ tokoh politik tersebut, sebaliknya ia memang harta rakyat yang diuruskan oleh orang-orang politik. Ini boleh mengelakkan perasaan rakyat yang merasakan mereka bagaikan peminta sedekah kepada kerajaan dan mengelakkan orang-orang politik lupa diri terhadap wang awam yang mereka belanja atau isytiharkan dalam kempen politik mereka.

iv. Sesebuah kerajaan BUKAN dipuji kerana mereka berbelanja dengan wang rakyat atau wang pembayar cukai itu, tetapi mereka dipuji kerana pengurusan yang cemerlang dan amanah dalam mengendalikan harta awam atau harta rakyat. Ertinya, jika kerajaan berjaya mengendalikan harta rakyat dengan cemerlang dan amanah, maka kerajaan itu dipuji dan disokong, begitu juga sebaliknya.

v. Istilah ‘taxpayers money’, atau ‘taxpayers fund’ atau ‘taxpayers dollar’ sering digunakan dalam media negara maju apabila memperkatakan tentang pembelanjaan ataupun pembaziran oleh pihak kerajaan. Istilah seperti ini sebenarnya boleh membantu mengelakkan kecuaian kerajaan dan dalam masa yang sama boleh menyedarkan rakyat tentang hakikat wang yang digunakan oleh pihak kerajaan. Istilah ini juga patut dihidupkan dalam negara kita.

betapa indahnya jika kematian kita terjadi begini, disaat sedang sujud kepadaNya

Za’ba pernah berkata:

Kita semuanya berkehendakkan baik dan tiada siapa yang berkehendakkan jahat. Kita ingin hendak membaiki segala hal ehwal kita yang kekurangan, sama ada pada perkara dunia dan pada perkara agama; hendak mengubah segala sifat keadaan kita yang buruk atau kurang baik ditukar dengan yang baik dan yang terlebih baik. Kita hendak mengganti segala hal kita yang mundur dan ketinggalan, ditukar dengan yang maju dan bertambah elok mengikut kehendak zaman pada segala yang baik. Kita hendak mengganti segala jalan fikiran kita yang kuno dan kolot dan segala kepercayaan atau pegangan kita yang sudah lapuk dan reput, ditukar dengan fikiran-fikiran baharu yang segar dan hidup dan dengan kepercayaan yang dapat disaksikan benarnya melalui ujian Quran bersendi akal dan ilmu pengetahuan. Kita mahu pemulihan dan pembaharuan bukan hendak berkokok pada jalan yang telah hanyut dari tujuan asalnya dan bukan pula berdegil hendak menyimpan jalan fikiran lama yang telah membeku jadi adat atau kepercayaan-kepercayaan lama yang sudah berkulat dan bercendawan!” (m.s 38) - Pendeta Za’ba

Seekor kucing yang sangat sedih ketika melihat kekasih/kawannya meninggal dunia, dan dia setia menunggu di depan jasadnya, berusaha membangunkan jasad kekasih / kawannya agar dia hidup kembali.

Tapi apa daya, dia tidak boleh hidup kembali, lalu seseorang berusaha membawa jasad itu untuk di kubur di tempat yang layak.

Seekor kucing pun mempunyai rasa sayang dan setia kpd kawan/kekasihnya. Tapi terkadang manusia begitu mudah membuang nyawa sesama dengan penuh benci dan dendam.

Keluh Kesah si Pendoa

Soalan: Saya mudah kecewa. Apabila saya doa, saya rasa doa saya Allah tidak akan terima. Saya dah minta doa macam-macam, tapi banyak benda yang minta itu tak berlaku seperti yang diminta. Kadang-kadang sehingga saya rasa macam tidak larat hendak berdoa. Tolonglah saya Dr!

Jawapan Dr MAZA:

 Saudari, semoga Allah merahmati kita semua. Untuk menjawab kemusykilan saudari itu, saya nyatakan seperti berikut:

1. Doa adalah permohonan kepada Allah. Allah ialah Tuhan Yang Maha Agung dan Maha Mencipta. Apabila seseorang berdoa kepadaNya, hendaklah ia dilakukan dengan penuh perasaan merendah diri, kekusyukan jiwa, harapan dan pergantungan yang mutlak diserahkan kepadaNya.

Ramai orang berdoa, tetapi tidak ramai pula yang jiwanya ketika berdoa itu jiwa merendah, penuh tunduk dan khusyuk kepada Allah. Kebanyakan doa diungkapkan dengan jiwa yang hambar sedangkan Allah memerintahkan: (maksudnya)

“Berdoalah kepada Tuhan kamu dengan merendah diri dan (dengan suara) yang perlahan. Sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang melampaui batas”. (Surah al-‘Araf, 55).

Jika kita dapat menjadikan jiwa kita ini begitu beradab, merendah, khusyuk dan penuh pengharapan kepada Allah, kita menghampiri pintu kemakbulan.

2. Bersangka buruk kepada Allah seperti menganggap Allah tidak akan terima doa adalah perasaan yang salah dan perlu dibaiki. Bagaimana mungkin Allah menolak doa, sedangkan Dia yang memerintahkan kita berdoa kepadaNya. Firman Allah:

(maksudnya): “Dan apabila hamba-hambaKu bertanya kepadamu mengenai Aku maka (beritahu kepada mereka): Sesungguhnya Aku (Allah) sentiasa hampir. Aku perkenankan permohonan orang yang berdoa apabila dia berdoa kepadaKu. Maka hendaklah mereka menyahut seruanKu (dengan mematuhi perintahKu), dan hendaklah mereka beriman kepadaKu supaya mereka mendapat petunjuk (Surah al-Baqarah, 186).

FirmanNya juga: (maksudnya)

“Dan Tuhan kamu berfirman: Berdoalah kamu kepadaKu nescaya Aku perkenankan doa permohonan kamu”. (Surah Ghafir, 60).

Doa yang dilakukan dengan penuh penghayatan pasti diterima Allah. Itulah jaminan Allah sendiri.

3. Maka seseorang hamba yang berdoa hendaklah dia penuh dengan keyakinan bahawa Allah akan memakbulkan doanya. Hanya jiwa yang tidak khusyuk ketika berdoa sahaja yang ragu-ragu terhadap penerimaan Allah. Sabda Nabi s.a.w:

“Berdoalah kamu kepada Allah dalam keadaan kamu yakin dengan kemustajabannya. Ketahuilah sesungguhnya Allah tidak menerima doa dari jantung hati yang lalai dan alpa” (Riwayat al-Tirmizi, dinilai sahih oleh al-Albani).

4. Namun, waktu dan ketika yang dipilih oleh Allah untuk sesuatu doa itu diperkenankan, hanya dalam ilmu Allah. Kadang-kala dilewatkan atas hikmah yang Dia Maha Mengetahui, dan insan yang berdoa juga biasanya akan tersingkap hikmah tersebut apabila tiba masanya. Sehingga apabila tiba waktu doa itu ditunaikan Allah, baru kita akan merasa betapa beruntungnya kemustajaban itu hadir pada waktu tersebut. Maka jangan putus asa dalam berdoa. Sabda Nabi s.a.w :

« Sentiasa doa dimustajabkan untuk seorang hamba Allah selagi mana dia tidak berdoa untuk membuat sesuatu dosa, atau memutuskan silaturrahim, selagi dia tidak tergopah-gapah ». Ditanya baginda : « Apa itu tergopoh-gapah ? ». Sabda baginda : «Apabila dia berkata : aku telah pun berdoa ! aku telah pun berdoa !, tetapi aku tidak nampak pun dimustajabkan untukku, lalu dia berhenti ketika itu dan meninggalkan doa » (Riwayat Muslim).

5. Cara bagaimana Allah memustajabkan sesuatu pengharapan atau doa hamba itu juga berbeza-beza. Mungkin tidak seperti jalan yang disangka hamba yang berdoa itu, tetapi Allah sesuatu yang lain yang lebih baik untuknya. Umpamanya, mungkin seorang hamba meminta kekayaan yang besar atas andaian dengan kekayaan itu maka dia akan bahagia.

Namun Allah mengetahui tentang hal hamba tersebut yang mana kekayaan besar boleh memudaratkan iman atau persekitarannya yang lain. Allah mungkin menggantikan kekayaan yang besar itu dengan rezeki yang mencukupi, kesihatan yang baik, anak-anak yang soleh dan keluarga yang bahagia. Kesemua itu membawanya mencapai ketenangan hidup di dunia dan kebahagiaan di akhirat.

Maka insan hendaklah jangan cepat menyatakan doanya tidak diterima, sebaliknya hendaklah dia sentiasa menyemak dan menilai segala kurnia Allah yang ada di sekelilingnya. Kemustajaban doa itu berlaku dalam berbagai bentuk. Sehingga ada yang Allah tangguhkan apa yang diminta itu ke hari akhirat, kerana Allah mengetahui bahawa di saat itu insan tersebut lebih memerlukan apa yang diminta tersebut. Sabda Nabi s.a.w :

« “Tiada seorang muslim yang berdoa dengan suatu doa yang tiada dalamnya dosa, atau memutuskan silaturahim melainkan Allah akan memberikan kepadanya salah satu dari tiga perkara: samada disegerakan kemakbulan, atau disimpan untuk diberikan pada hari akhirat, ataupun dijauhkan keburukan yang sepadan dengannya”. (Riwayat Ahmad, Al-Bazzar dan Abu Ya’la dengan sanad yang sahih).

6. Doa tidak sia-sia. Doa adalah lambang pengabdian diri seorang hamba Allah kepada Allah Yang Maha Agung. Sebab itulah berdoa kepada selain Allah, sekalipun memohon kemustajaban dari nabi atau wali adalah dianggap sebagai syrik. Sementara berdoa kepada Allah adalah ibadah. Ertinya, jika seorang hamba itu berdoa selama sejam, dia sebenarnya sedang beribadah selama sejam. Jika dia berdoa sepanjang malam, bererti dia beribadah sepanjang malam. Sabda Nabi s.a.w :

“Doa itu adalah ibadah” (Riwayat Abu Daud dan al-Tirmizi, dinilai sahih oleh al-Albani).

Adapun berdoa selain Allah pula adalah syirik dan memusuhi penyerunya pada hari Kiamat kelak. Firman Allah: (maksudnya):

“Dan tiada yang lebih sesat dari orang yang menyeru selain Allah, yang tidak dapat menyahut seruannya sehinggalah ke hari kiamat, sedang mereka (makhluk-makhluk yang mereka sembah itu) tidak dapat menyedari permohonan tersebut. Dan apabila manusia dihimpunkan (pada hari akhirat), segala yang disembah itu menjadi musuh (kepada orang-orang yang menyembahnya) dan membantah mereka” (Surah al-Ahqaf, 5-6).

7. Kehidupan ini mempunyai rahsianya yang tersendiri. Banyak perkara yang kita rasa pahit dan membencinya pada masa tertentu padahal ia manis pada masa yang lain. Banyak perkara yang kita rasa baik, ia buruk apabila berubah masa dan keadaan. Allah Maha Mengetahui apa yang bakal terjadi, apa yang sedang dan telah terjadi. Kita selalu tergopah-gapah menilai sesuatu keadaan. Sehingga kadang-kala kita berdoa hendak sesuatu, sedang Allah mengetahui ia tidak baik untuk kita. Allah menggantikan dengan perkara lain, kita mungkin tidak perasan atau sedar.

Seseorang mungkin merasakan doa yang dikehendaki belum Allah mustajabkan, tetapi dia terlupa apa yang sedang dinikmatinya itu sudah mencapai harapannya. Maka, janganlah cepat kita berputus asa dengan rahmat Allah dan terus menghukum bahawa doa kita belum dimustajabkan.

8. Dukacita dan keperitan hidup menghapuskan dosa dan menaikkan darjat seseorang di sisi Allah. Ia juga membawa insan membanyakkan doa. Dalam detik menunggu kemustajaban doa, ramai yang kembali menjadi soleh, tunduk, tawaduk dan membanyakkan ibadah. Penangguhan doa mempunyai berbagai hikmah dalam kehidupan muslim. Dunia ini amat kerdil dan tidak dibandingkan dengan akhirat. Doa merupakan amalan yang membawa kebahagian insan di akhirat. Menanti kemustajaban doa dengan iman dan penuh tawakal merupakan tempoh yang menyebabkan banyak insan kembali menemui jalan Allah yang hakiki.

9. Marilah kita teruskan doa, baiki diri dan nilailah apa yang telah berikan kepada kita dalam kehidupan hari ini. Keperitan hari ini, mungkin kemanisan hari esok. Kemanisan hari ini, belum tentu kenikmatan hari esok. Maka, sentiasa bertawakal kepada Allah dan jangan putus asa berdoa kepadaNya.

*artikel oleh Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin

Iman Tidak Dipaksa

Kita mungkin boleh memaksa manusia makan, atau bercakap, atau bergerak, atau diam atau apa sahaja tindakan fizikal. Namun kita tidak mungkin boleh memaksa keyakinan dan kepercayaan seseorang. Ini seperti memaksa seorang mempercayai apa yang dia tidak percaya, atau meragui apa yang dia yakin, atau mengkufuri apa yang dia imani, atau mengimani apa yang dia tidak dapat terima kebenarannya.

Demikian juga kita tidak boleh memaksa perasaan seseorang seperti cinta, benci, suka, marah, sayang dan seumpamanya. Jika kita terus paksa dengan kekuasaan dan kekerasan untuk mengungkap dengan lidah apa yang tidak terkandung dalam jantung hatinya atau perasaannya, dia mungkin menyatakannya dengan lidah tetapi iktikad dan perasaan akan tetap menolak.

Tiada siapa pun dalam kalangan makhluk mampu memaksa akidah orang lain. Apa yang manusia mampu hanyalah paksaan fizikal, sedangkan iman atau kufur seseorang tidak dapat diubah jika tidak dengan kehendak dan kerelaan empunya diri.

Islam sebagai agama yang diturun oleh tuhan yang mencipta manusia, Allah Maha Mengetahui tentang hakikat hambaNya. Maka Islam mensyaratkan iman itu berteraskan keyakinan dalam jiwa insan. Tanpanya, iman tidak dikira atau dinilai. Seseorang yang mengakui beriman kepada Islam dengan cara paksaan tidak diiktiraf. Demikian seseorang yang mengakui kufur kepada Islam dengan paksaan juga tidak hukum bersalah.

Firman Allah (maksudnya)

“Tiada paksaan dalam agama (Islam), kerana sesungguhnya telah nyata kebenaran (Islam) dari kesesatan (kufur). Maka sesiapa yang tidak mempercayai taghut serta beriman kepada Allah, maka sesungguhnya dia telah berpegang kepada pegangan yang teguh, dan (ingatlah), Allah Maha Mendengar, lagi Maha mengetahui” (Surah al-Baqarah ayat 256).

Ayat ini diturunkan kepada golongan Ansar di mana dalam kalangan mereka mempunyai anak-anak yang telah diyahudi atau dikristiankan. Apabila Islam datang, mereka ingin memaksa anak-anak mereka menganut Islam, maka Allah melarang mereka berbuat demikian sehingga mereka sendiri membuat pilihan. Lalu diturunkan firmanNya tadi.

Kata Ibn ‘Abbas:

“Ada seorang wanita yang tidak dapat mengandung. Dia bernazar jika dia dapat anak, dia akan jadikannya beragama yahudi. Apabila Yahudi Bani Nadir dihalau keluar dari Madinah, ada dalam kalangan mereka anak-anak golongan Ansar. Kata ibubapa mereka: “Kami tidak akan biarkan anak-anak kami mengikut mereka, maka Allah turunkan ayat: “ (Riwayat Abu Daud, dinilai sahih oleh al-Albani).

Demikianlah ajaran Islam. Ibubapa pun tidak boleh memaksa agama atau keyakinan anak sendiri, inikan pula orang lain.

Begitulah juga, jika seseorang dipaksa mengkufuri Islam atau tidak percaya dengan Islam, sedangkan jantung hatinya tetap dengan keimanan dan keyakinan, maka sekalipun dia tunduk dengan paksaan tersebut, imannya tetap sah dan diiktiraf di sisi Allah. Manusia hanya boleh memaksa lidah dan anggota yang lain, tapi tiada siapa mampu memaksa iman.

Firman Allah: (maksudnya)

“Sesiapa yang kufur kepada Allah sesudah beriman (maka baginya kemurkaan Allah), kecuali orang yang dipaksa (melakukan kufur) sedang jantung hatinya tenang tenteram dengan iman; akan tetapi sesiapa yang terbuka dadanya menerima kufur maka atas mereka ditimpa kemurkaan dari Allah, dan mereka pula beroleh azab yang besar. (Surah al-Nahl, ayat 106).

Jelas, iman tidak boleh dipaksa. Ia masuk ke dalam dada insan dengan rela dan keyakinan. Demikian kekufuran juga tidak boleh dipaksa. Ia bersarang dalam dada insan dengan pilihannya. Cumanya ada sebab-sebab yang membawa kepada iman atau tidak berimannya seseorang. Hujah dan alasan yang diterima oleh akal dan ruh insani menyebabkan insan mempercayai sesuatu atau mengingkari sesuatu.

Maka Islam sebelum menghukum iman atau kufur atas seseorang mewajibkan Iqamah al-Hujjah (penegakan hujah). Setelah ditegakkan hujah dan alasan yang kukuh, jika dia terus membantah dan tidak menerima sedangkan dia tahu dari segi hujah dan alasan Islam ini benar, maka ketika itu dia dianggap sebagai kufur.

Firman Allah: (maksudnya)

“Sesiapa yang beroleh petunjuk (menurut panduan Al-Quran), maka sesungguhnya faedah petunjuk itu hanya kepada dirinya sendiri, dan sesiapa yang sesat maka sesungguhnya kesan buruk kesesatannya hanya ditanggung oleh dirinya juga, dan seseorang yang boleh memikul, tidak akan memikul dosa perbuatan orang lain, dan tiadalah Kami (Allah) mengazabkan sesiapapun sebelum Kami mengutuskan seorang rasul” (Surah al-Isra, ayat 15).

Ayat ini adalah kaedah teras yang mesti difahami oleh setiap muslim. Allah Yang Maha Suci tidak akan menanggung dosa seseorang ke atas orang lain dan tidak akan mengazabkan seseorang melainkan setelah diutusnya rasul yang menegakkan hujah. Apabila datang rasul, atau wakil rasul, atau apa sahaja saluran yang menyampaikan hujah dan bukti rasul terhadap kebenaran petunjuk Allah kepada seseorang sehingga dirinya akur bahawa ini merupakan ajaran Allah, maka jika dia menolak, dia layak untuk dihukum di Hari Pembalasan kelak.

Sebaliknya, jika hujah yang kukuh mengenai Islam atau ajaran rasul itu tidak sampai kepadanya, maka dia tidak akan diazab oleh Allah sekalipun kita memanggilnya ‘kafir’ atau seumpamanya. Bahkan kita pula yang mungkin diazab oleh Allah jika kita tidak menerangkan ajaran Islam yang telah sampai kepada kita, atau kita tunjukkan contoh buruk sehingga dia salahfaham terhadap Islam.

Jika kita memahami hakikat ini, tentu kita akan mendahulukan dakwah daripada kekerasan. Persoalan yang patut kita semua tanya, apakah mereka yang kita anggap sebagai kaum kafir itu telah sampai kepada mereka hujah yang benar lagi teguh tentang Islam ini? Atau, mungkin kebanyakan mereka itu jahil? Atau mungkin sebahagian mereka telah disalahfahamkan hakikat Islam yang sebenar oleh musuh-musuh Islam, atau mungkin juga oleh tindakan sebahagian orang Islam sendiri.

Dalam kalangan manusia, golongan yang paling jauh dari Islam adalah puak atheist yang tidak percaya kepada Tuhan sama sekali. Manusia beragama, walau apapun agamanya, sekurang-kurangnya mereka maju setapak dengan percaya tentang kewujudan dan kekuasaan Tuhan. Justeru menghormati nilai tersebut maka Islam tidak memusnahkan tempat-tempat ibadat mereka tanpa alasan yang benar. Bahkan melindunginya, jika itu merupakan hak mereka.

Ini seperti firman Allah: (maksudnya)

“Dan kalaulah Allah tidak mendorong setengah manusia menentang pencerobohan setengahnya yang lain, nescaya runtuhlah tempat-tempat pertapaan serta gereja-gereja (kaum Nasrani), dan tempat-tempat sembahyang (kaum Yahudi), dan juga masjid-masjid (orang Islam) yang sentiasa disebut nama Allah banyak-banyak padanya dan sesungguhnya Allah akan menolong sesiapa yang menolong agamaNya; sesungguhnya Allah Maha Kuat, lagi Maha Kuasa. (Surah al-Hajj, ayat 40).

Ini menunjukkan walaupun Islam hanya mengiktiraf dirinya sebagai agama yang diredhai Allah, namun dalam masa yang sama Islam menghormati hak dan nilai beragama, kerananya Islam melindungi mereka.

Dalam kalangan agama-agama yang ada, agama yang mempunyai unsur-unsur langit seperti Yahudi dan Kristianlah yang lebih dekat dengan Islam. Ini kerana kesan ajaran nabi-nabi terdahulu yang masih terdapat dalam agama tersebut menjadikan banyak persamaan antara mereka dengan Islam.

Justeru, Islam walaupun mengecam Ahlul Kitab (Yahudi dan Kristian) atas pengubahan kitab, kesyirikan mereka dan salahguna agama tetapi Islam tetap mengizinkan memakan sembelihan mereka dan berkahwin dengan wanita mereka yang bukan lacur. Tujuannya untuk membawa mereka kepada ajaran Islam yang sepatutnya mereka ikuti. Islam tahu kesan agama langit dalam jiwa mereka memudahkan mereka menerima Islam jika mereka tidak takabur.

Firman Allah: (maksudnya)

“Demi sesungguhnya engkau (Wahai Muhammad) akan dapati manusia yang keras sekali permusuhannya kepada orang-orang yang beriman ialah orang-orang Yahudi dan orang-orang musyrik. Dan Demi Sesungguhnya engkau akan dapati orang-orang yang dekat sekali kasih mesranya kepada orang-orang yang beriman ialah orang-orang yang berkata: “Bahawa kami ini ialah orang-orang Nasrani” yang demikian itu, disebabkan ada antara mereka pendita-pendita dan ahli-ahli ibadat, dan kerana mereka pula tidak berlaku sombong”. (Surah al-Maidah, ayat 82).

Iman tidak boleh dipaksa. Cuma sebab-sebab manusia menerima Islam disebabkan alasan yang dapat diterima oleh akal dan ruh insan. Mempercayai Tuhan adalah selangkah ke arah Islam. Mengetahui dan mengiktiraf ajaran Allah kepada nabi-nabi yang terdahulu adalah selangkah yang mendekatkan lagi manusia kepada Islam. Apa yang tinggal peranan kita menjelaskan Islam yang sebenar. Janganlah pula kita yang merosakkan gambaran Islam yang mulia dan suci ini.

*artikel oleh Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin

Secebis Peringatan

Firman Allah s.w.t, Surah An-Nisaa’ ayat 36 :

”..Dan hendaklah kamu berbuat baik kepada ibu bapa dan kaum kerabat dan anak-anak yatim, dan orang-orang miskin dan jiran tetangga yg dekat dan jiran yg jauh. Dan rakan sejawat dan orang musafir yang terlantar dan juga hamba yg kamu miliki. Sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang yang sombong, takbur dan membanggakan diri..”

Sesungguhnya Al-Quran itu diturunkan sebagai panduan lengkap untuk seluruh umat manusia. Dan berbuat baiklah kita sesama manusia. 

Dengan menyebut nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang.
Segala puji bagi Allah, Tuhan semesta alam.
Maha Pemurah lagi Maha Penyayang.
Yang menguasai di Hari Pembalasan.
Hanya Engkaulah yang kami sembah, dan hanya kepada Engkaulah kami meminta pertolongan.
Tunjukilah kami jalan yang lurus,
(yaitu) Jalan orang-orang yang telah Engkau beri ni’mat kepada mereka; bukan (jalan) mereka yang dimurkai dan bukan (pula jalan) mereka yang sesat.
Kita sering diunjurkan untuk membaca Surah Al-Fatihah ketika pembukaan majlis, kematian, sebelum berdoa dan sebagainya. Walhal, berapa ramai yang betul-betul mendalami dan menjiwai maksud surah ini sendiri. 
Aku tertarik dengan ayat ke 4, إِيَّاكَ نَعْبُدُ وإِيَّاكَ نَسْتَعِينُ yang bermaksud “Hanya Engkaulah yang kami sembah, dan hanya kepada Engkaulah kami meminta pertolongan.”
Membaca Surah Al-Fatihah adalah salah satu rukun ketika bersolat, di mana meninggalkannya menjadikan solat itu tidak sah. Tetapi jika kita benar-benar memahami dan menghayati maksudnya, bacalah ia dengan rasa rendah diri, kusyuk dan meminta-minta padaNya kerana sedarlah, betapa kecilnya diri kita di sisi Tuhan.
Tahniah jika anda berjaya membaca dan menghayati surah ini di waktu malam (ketika solat tahjud, taubat dan sebagainya) hingga timbul rasa sebak. Semoga Allah memberikan keberkatan kepada kita semua. Amin.
  1. Dengan menyebut nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang.
  2. Segala puji bagi Allah, Tuhan semesta alam.
  3. Maha Pemurah lagi Maha Penyayang.
  4. Yang menguasai di Hari Pembalasan.
  5. Hanya Engkaulah yang kami sembah, dan hanya kepada Engkaulah kami meminta pertolongan.
  6. Tunjukilah kami jalan yang lurus,
  7. (yaitu) Jalan orang-orang yang telah Engkau beri ni’mat kepada mereka; bukan (jalan) mereka yang dimurkai dan bukan (pula jalan) mereka yang sesat.

Kita sering diunjurkan untuk membaca Surah Al-Fatihah ketika pembukaan majlis, kematian, sebelum berdoa dan sebagainya. Walhal, berapa ramai yang betul-betul mendalami dan menjiwai maksud surah ini sendiri. 

Aku tertarik dengan ayat ke 4, إِيَّاكَ نَعْبُدُ وإِيَّاكَ نَسْتَعِينُ yang bermaksud “Hanya Engkaulah yang kami sembah, dan hanya kepada Engkaulah kami meminta pertolongan.”

Membaca Surah Al-Fatihah adalah salah satu rukun ketika bersolat, di mana meninggalkannya menjadikan solat itu tidak sah. Tetapi jika kita benar-benar memahami dan menghayati maksudnya, bacalah ia dengan rasa rendah diri, kusyuk dan meminta-minta padaNya kerana sedarlah, betapa kecilnya diri kita di sisi Tuhan.

Tahniah jika anda berjaya membaca dan menghayati surah ini di waktu malam (ketika solat tahjud, taubat dan sebagainya) hingga timbul rasa sebak. Semoga Allah memberikan keberkatan kepada kita semua. Amin.

Siyasah Perubahan Dengan Maslahah

Nabi s.a.w tidak meninggalkan perincian dalam masalah politik. Politik bukanlah ibadah khusus seperti solat, puasa yang seumpamanya yang tidak boleh diubah. Politik itu sesuatu yang bergerak berdasarkan kemaslahatan hidup manusia. Justeru itu, Nabi s.a.w tidak meninggalkan pendetilan tentang politik, sebaliknya hanyalah prinsip-prinsip umum untuk dipegang oleh manusia. Jika ada pendetilan, ia mempunyai faktor tempat dan masa yang terdedah kepada perubahan. Apatahlagi, pentadbiran kerajaan Nabi s.a.w tidaklah sistematik seperti zaman selepas itu. Ini kerana keperluan politik sudah memadai dengan bentuk pengurusan yang lebih menjurus kepada tribal system ketika itu. Maka pengurusan Nabi s.a.w berdasarkan kepada keperluan rakyat. Kemudian politik itu berkembang dan pengurusannya lebih rumit dan terperinci. Tidak sama pula antara satu tempat dengan yang lain, antara negeri dengan negeri, antara negara dengan negara.

Maka, kita dapati banyak perubahan politik yang dilakukan selepas kewafatan Nabi s.a.w, khususnya bermula pada zaman Saidina ‘Umar al-Khattab. Ijtihad dalam politik lebih luas dan terbuka. Terasnya, kemaslahatan rakyat. Islam bersifat luas dalam hal politik. Ini kerana syariat itu dibina atas dasar kemaslahatan manusia. Kata al-Imam Ibn Qayyim al-Jauziyyah (meninggal 751H):

“Sesungguhnya syariah Islam itu binaan dan asasnya adalah atas segala hikmah dan kebaikan untuk manusia di dunia dan akhirat. Syariah Islam itu segalanya keadilan, kebaikan dan hikmat. Maka setiap perkara yang terkeluar dari keadilan kepada kezaliman, dari rahmat kepada yang berlawanan dengannya, dari kebaikan kepada kerosakan, dari hikmat kepada sia-sia maka ianya bukan syariah Islam sekalipun diberikan takwilan untuknya”. (Ibn Qayyim al-Jauziyyah, I’lam al-Muwaqqi’in, 3/3, Beirut: Dar al-Jail).

Ertinya, apa yang penting dalam penegakan syariat adalah tujuan atau maqsad utama syariat itu iaitu kemaslahatan manusia. Bukan soal nama yang penting tetapi matlamat dari perlaksanaan sesuatu perkara yang dikaitkan dengan nama syariah itulah yang paling penting. Jika kita memberikan nama yang ‘islamik’sekalipun, tetapi tidak mencapai tujuan syariah iaitu keadilan untuk manusia, maka ia tidak boleh dianggap islamik. Nama bukan penentu, isi dan pencapaian maqsad itulah yang paling penting. Sebab itu, jika menamakan negara dengan ‘daulah islamiyyah’ tetapi tidak mencapai maqsad keadilan, maka nama itu tidak bererti, bahkan memberikan salahfaham umum terhadap agama yang suci ini.

Realiti Semasa

Untuk mencapai keadilan dan tujuan perlaksanaan syariah, ia memerlukan kefahaman terhadap nas dan penelitian terhadap realiti semasa. Kefahaman yang literal terhadap hadis-hadis siyasah akan menjadikan perlaksanaan Islam dalam bidang tersebut gagal mencapai tujuan sebenar syariat. Sebab itu dalam hadis Nabi s.a.w bersabda:

“Jangan dipotong tangan (pencuri) ketika dalam peperangan”. (Riwayat al-Tirmizi dan al-Darimi. Hadis dinilai sahih oleh al-Albani)

Al-Imam Tirmizi (297H) ketika meriwayat hadis ini menyebut:

“Sebahagian ilmuwan berpegang dengan nas ini, antara mereka al-Auza’i, mereka berpendapat tidak dilaksanakan hudud ketika peperangan, berhadapan dengan musuh kerana dibimbangi individu yang dihukum itu akan pergi menyertai musuh…”.

Dalam riwayat Abu Daud:

“Jangan dipotong tangan ketika pemusafiran” (Riwayat Abu Daud. Dinilai sahih oleh al-Albani.)

Dalam hadis di atas, Nabi s.a.w mengambil kira persoalan realiti tempat, masa dan kesan terhadap sesuatu perlaksanaan hukum. Saya melihat, jika kebimbangan musuh mengambil kesempatan atau orang Islam meninggalkan Islam itu adalah sebab yang dilihat oleh sebahagian sarjana mengapa Nabi s.a.w melarang hukuman tersebut dilaksanakan, maka pada zaman yang fitnah terhadap Islam di pelbagai penjuru dan kerapuhan iman umat Islam begitu nyata, penelitian tentang perlaksanaan hudud itu mestilah lebih berhati-hati. Perlaksanaan hudud mestilah membawa natijah yang positif, bukan negatif kepada Islam. Maka perjuangan mengujudkan suasana yang kondusif itu mendahului usaha perlaksanaan hudud. Setelah wujudnya masyarakat adil; pemerintah dan rakyat, suasana iman dan Islam, kehidupan yang aman dan bahagia, tiba-tiba ada yang mencetuskan jenayah yang mencemarkan itu semua, ketika itu apabila dilaksanakan hudud tertonjollah kesan dan keindahannya.

Demikian juga dalam hadis Anas bin Malik, dia berkata:

“Harga barang telah menjadi mahal di Madinah pada suatu ketika di zaman Rasulullah s.a.w. Maka orang ramai pun berkata: “Wahai Rasulullah! Harga barang telah mahal, tetapkan harga untuk kami”. Jawab Rasulullah s.a.w: “Sesungguhnya Allah, Dialah yang menetapkan harga, yang menyempit dan melimpahkan (kurniaan), yang maha memberi rezeki. Sesungguhnya aku berharap untuk menemui Allah dalam keadaan tiada seorang pun dalam kalangan kamu yang menuntut daripadaku haknya yang dizalimi samada pada darah atau harta”. (Riwayat Ahmad, Abu Daud, al-Tirmizi, Ibn Majah, al-Darimi dll. Dinilai sahih oleh al-Albani)

Dalam hadis ini, Nabi s.a.w enggan menetapkan atau mengawal harga barang (price control policy). Baginda bimbang itu akan menzalimi peniaga. Ini sangat relevan dengan keadaan para peniaga pada zaman baginda, keadaan barangan yang diniagakan dan juga bentuk perdagangan yang ada ketika itu. Namun, apabila zaman berubah, sikap peniaga, keadaan pasaran (market situation) pun berubah. Jika price control policytidak diwujudkan, para pembeli pula mungkin menjadi mangsa. Untuk itu kita dapati para sarjana fekah sejak dahulu ada yang memboleh penetapan harga oleh pihak berkuasa apabila melihat kepada perubahan keadaan.

Kata al-Munawi (meninggal 1031H) :

Rabiah (bin ‘Abd al-Rahman) telah mengharuskan penetapan harga. Ini sebenarnya Mazhab ‘Umar, kerana itu akan memelihara sistem harga. Kata Ibn al-‘Arabi al-Maliki: sebenarnya, harus menetapkan harga dan mengawal urusan dengan suatu undang-undang yang tidak menzalimi kedua belah pihak (peniaga dan pembeli). Apa yang disebut oleh al-Mustafa (Nabi s.a.w) adalah benar, apa yang dilakukannya adalah tepat, namun itu untuk yang betul niat dan agama mereka. Adapun kaum yang berhasrat memakan harta dan menyusahkan orang ramai, maka pintu Allah adalah luas dan hukum dilaksanakan”.( Al-Munawi, Faidh al-Qadir, 2/337. Beirut: Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah.).

Hal yang sama disebut oleh Ibn Taimiyyah dalam Majmu’ al-Fatawa.

Kefahaman yang sebegini bukan menolak hadis, sebaliknya berusaha melihat nas dari segi teks dan konteks. Maka, pemimpin muslim yang hendak memimpin umat dalam era ini, tidak boleh terlalu literal dalam memahami nas, tetapi hendaklah melihat Maqasid al-Syariah (The higher objectives of Islamic Law) bagi setiap nas-nas yang berkaitan politik islami.

*artikel oleh Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin

Jika penguasaan bahasa inggeris dan akhlak generasi akan datang seperti ini, dunia akan jadi milik kita.

video yang buat aku sujud dan menangis

Kegelapan

Assalamualaikum. Ketika ini, awan mendung berarak, titis-titis hujan mulai turun, bakal diringi dengan guruh dan kilat. Tetapi hati aku berasa tenang sekali. Hujan adalah satu nikmat. Bersyukurlah.

Cuaca yang suram begini, membuatkan aku terkenang, betapa gelapnya hati kita selama ini. Bagaikan mendung yang takkan berakhir. Dan tuhan jadikan hujan itu untuk membersihkan segala kekotoran di muka bumi ini. Lantas udara kembali bersih, dan manusia dapat menikmati kehidupan daripadaNya. Subhanallah.

Selama ini kita leka dengan keseronokan dunia. Kita lakukan semua yang dilarang, malah meninggalkan segala suruhanNya. Akhlak yang baik ditolak ketepi. Hati kita menjadi segelap-gelap malam yang pekat. Percayalah, pasti semua merasakan kekosongan di dalam jiwa bukan?

Kembalilah wahai rakan-rakan sekalian. Kembalilah pada Islam. Aku juga pernah alami kekosongan jiwa. Aku juga pernah leka. Aku juga pernah cuai. Aku juga pernah takbur, riak dan sombong. Tetapi sampai bila? Sebelum kita terlewat untuk menyedarinya, pantaslah merebut peluang.

Cuba renungkan, pernahkah kita mengingati Allah ketika susah dan senang? Dikurniakan kita nikmat yang cukup, malah berlebihan. Tidak dapat kita balas dengan ucapan syukur walaupun 1000 tahun lagi. Kita dilahirkan Islam, tetapi mengapa kita lebih barat dari tamadun barat itu sendiri?

Biarlah jika ramai akan berkata “ah poyo lah mamat ni, nak islamic pulak dah”. Aku tak peduli. Akan aku jaga hidayah yang aku perolehi. Air mata yang mengalir setiap malam mengenangkan dosa dan kecuaian takkan aku persiakan. Sabda rasulullah, sampaikanlah walau satu ayat. Kerana tiada apa yang akan jadi bekalan kita di hari kemudian selain daripada amal kebaikan dan ibadah kita. Betapa kecilnya diri kita di sisiNya.

Carilah rezeki yang halal, bantulah orang-orang yang memerlukan, dan beribadat lah kepada Allah. Alhamdulillah, aku diberikan kesedaran ketika masih muda dan bertenaga. Dan ramai lagi yang telah memperolehi hidayahNya. Syukur.

Akan aku cuba dan berusaha untuk menyebarkan dan menyambung usaha Rasul dalam menyebarkan syiar Islam di muka bumi ini. Insyaallah.

Mendung yang menutupi hati kita, bakal diterangi dengan iman dan takwa. Cubalah.

Doa

“Ya Allah ya tuhanku. Ampuni lah dosa-dosa ibu bapa ku. Lindungi lah keluarga ku dari dugaan-dugaan yang berat. Kurniakan lah aku tubuh badan yang sehat supaya aku dapat beribadat kepadaMu dan mencari rezeki mengubah nasib keluarga. Sesungguhnya aku hambaMu yang amat leka dan cuai dalam menjalani kehidupan yang lalu. Kuatkan lah imanku, jadikanlah aku umatmu yang dapat berbakti di muka bumi ini. Ampuni semua dosa-dosa ku. Telah banyak kemungkaran yang telah aku lakukan dan hanyut dalam kenikmatan dan kelalaian dunia yang sementara ini. Berikanlah hidayahmu kepada orang-orang sekelilingku. Sesungguhnya, Kau Maha Adil, Maha Mengampuni dan Maha Menyayangi. Amin”

RnB tak perlu wanita sexy

Golongan ke 3

Ada kurang lebih 3 hari lagi sebelum aku pulang. Kebelakangan ini, menulis (menaip lebih tepat) menjadi ruang untuk aku meluahkan idea pemikiran dan pendapat hasil dari pemerhatian dan pembacaan yang telah aku buat. Bila kita bercakap, mungkin esok kita boleh lupa. Tapi jika kita mencatit, secara tidak langsung, kita boleh memperingati diri kita sendiri juga.

Terdapat beberapa anjakan paradigma yang aku azamkan pada diri sendiri, yang aku akan cuba jalankan satu persatu. Telah aku rumuskan perjalanan hidup yang hampir 30 tahun ini. Ramai orang hanya nampak personaliti aku yang ke arah kegembiraan dan kekosongan sahaja selama ini. Walhal aku bukanlah seperti itu semata-mata. Mungkin selepas aku pulang nanti, penilaian orang akan berubah.

Ramai antara kita terlalu pentingkan diri sendiri. Bukan dalam kata erti kedekut, sombong, bongkak, tidak. Cuma kita mungkin terlalu sibuk membela diri sendiri, keluarga atau teman-teman rapat. Namun di celah-celah kesibukan ‘jaga hal sendiri’ itu, wujudnya kelompok yang neutral.

Neutral maksud aku, ialah golongan yang membela, berbakti, membantu, menyebarkan, tanpa rasa kesal, tanpa berharap balasan baik, tanpa memiliki atau mengharapkan kepentingan tertentu, di luar batasan konteks diri sendiri dan keluarga semata-mata. Tangan-tangan ghaib yang tidak jemu dan tidak merungut dalam melakukan kebaikan dan pembaharuan samada bersendirian atau berpesatuan.

Dan aku mahu menuju ke situ. Menjadi golongan ke 3. Golongan neutral. Tiada kepentingan. Jauh sekali mengharapkannya. Semoga cita-cita aku tercapai. Amin.

Ultralite Powered by Tumblr | Designed by:Doinwork